5 PRINSIP AMAL JAMA’EI
Jatuh bangun sebuah gerakan Islam berpunca daripada kefahaman ahli dan pengurusan organisasi yang teratur dan mantap.Sebahagian dari usaha untuk memperkasakan sebuah organisasi Islam agar Islam yang dilaungkan menjadi asas dan dasar perjuangan dapat dilaksanakan dengan cemerlang , jika kita intima' atau penglibatan kita dengan organisasi atau gerakan itu benar - benar dihayati bersama 5 prinsip Amal Jamaei .
5 Prinsip yang saya maksudkan itu ialah :
1. Iltizam
Memberikan komitmen yang tinggi terhadap setiap aktiviti amal Islami yang dianjurkan oleh organisasi demi menjayakan gerakkerja pengkaderan atau pembinaan :
1. Aqidah yang sohih ,
2. Fikrah yang syumul
3.Syakhsiyyahyangsoleh
4. Dakwah yang benar
5. Tanzim @ Organisasi yang mantap
Jangan abaikan setiap keputusan organisasi apalagi membuat keputusan yang bercanggah dengan apa yang telah diputuskan secara jamaei melalui prosedur mesyuarat yang sah . Pastikan juga kita tidak mengakibatkan aktiviti organisasi lumpuh atau terbiar dengan sikap kita yang acuh tidak acuh dalam menjayakannya .
Terapkan rasa wajib ke atas diri dalam menunaikan semua peraturan dan arahan pimpinan yang tentunya untuk kepentingan perjuangan Islam yang suci dan bersih dari sebarang elemen yang bersifat kepentingan diri sendiri .
Rasa diri terpanggil untuk menyelesaikan apa jua tanggungjawab dan amanah perjuangan yang terbengkalai walaupun bukan kita pemegang amanah yang bertanggungjawab langsung terhadapnya .
2. Wala'
Kesetiaan dan kejujuran kita terhadap perjuangan Islam yang didokong dengan wadah organisasi Islam sebagai platform untuk menjayakannya , lalu menggapai objektif dan matlamat .
Tidak berlaku curang atau tidak mengkhianati perjuangan dengan melakukan sesuatu yang bukan sahaja bercanggah dengan dasar perjuangan tetapi juga mendedahkan organisasi kepada risiko ekoran tindakan kita yang kurang berhati - hati seperti mengakibatkan kebocoran rahsia dan lainnya .
Jangan sekali - kali bermain kayu 3 dengan gerakan kita yang akhirnya mencetus dilemma dalam melaksanakan arahan pimpinan . Antaranya sikap menyertai 2 atau 3 organisasi sekali gus kononnya didirikan atas kefahaman bahawa yang penting ialah Islam bukan organisasi , maka boleh menyertai mana - mana organisasi yang mahukan Islam .
Tindakan ini membawa kepada pecah wala' lalu timbul pula 'fatwa' kononnya wala' tidak wajib kecuali kepada Allah dan Rasul demi menghalalkan tindakan mereka menyertai 2 atau 3 organisasi secara serentak .
Menyertai 2 atau 3 organisasi serentak sebenarnya menggangu proses pembinaan secara terancang dan mencetuskan kekeliruan fikrah serta membawa kepada dilemma dalam ketaatan dan komitmen.
3. Dengar dan Taat.
Melancarkan misi dan operasi yang telah dirancang demi mencapai objektif dan matlamat perjuangan suci ini pastinya dengar dan taat adalah mekanisme yang tidak dapat tidak mesti dihayati dan dilaksanakan .
Kita tidak selayaknya mengklasifikasikan ketaatan kita kepada pimpinan dan organisasi selama mana ia tidak mengheret kita dan organisasi kita ke kancah maksiat dan mungkar . Sekalipun pemimpin yang mengeluarkan arahan hanya seorang junior atau pimpinan yang bagi kita kurang mempunyai ilmu , jika kita bertanggungjawab langsung dengan arahan tersebut maka hendaklah ianya dilaksanakan dengan penuh amanah .
4. Ukhuwwah fillah
Jalinan persaudaraan antara ahli gerakan mestilah diikat dengan semangat berlapang dada , berbaik sangka , tawadhu' atau merendah diri antara satu sama lain , kasihkan saudara sebagaimana kita kasih kepada diri sendiri , mengutamakan kebaikan buat saudara kita mengatasi diri sendiri .
Eratnya jalinan antara ahli sesama ahli dan ahli dengan pimpinan membentuk benteng kukuh buat organisasi dari sebarang anasir yang merosakkan struktur kepimpinan dan pentarbiyahan.
Usaha dan aktiviti yang menumbuhkan kemesraan sesama ahli atau program yang menanam rasa kasih yang mendalam mestilah diberikan keutamaan . Justeru ukhuwwah yang terbina utuh antara ahli dan pimpinan akan meminimakan ruang khilaf dan menutup peluang krisis .
5. Tadhiyyah [ pengorbanan ]
Tiada perjuangan tanpa pengorbanan malah pengorbanan antara pra syarat kemenangan . Sukar untuk kita jayakan misi dan visi perjuangan besar ini tanpa pengorbanan semua pihak . Mengorbankan tenaga , harta benda dan nyawa demi perjuangan Islam ini sememangnya telah diwartakan oleh Allah dalam al Quran sebagai sunnah perjuangan sejak zaman Nabi saw.
Kegagalan berkorban memerangkap diri dan organisasi dalam kelemahan yang tidak mungkin boleh diatasi . Terutama kita berjuang di era kesenangan , kedengaran akhir - akhir ini suara yang mahu titik peluh dan penat lelahnya untuk perjuangan ini dibayar dengan imbuhan dunia. Tanpa imbuhan atau perolehan lumayan maka tiada tenaga jauh sekali nyawa untuk perjuangan.Ini satu musibah ! Pengorbanan adalah tuntutan perjuangan yang sama samaada sebelum atau selepas menang . Tanpa pengorbanan terlalu sukar untuk kita mencapai kemenangan sebagaimana jua tanpa pengorbanan pasti sahaja kemenangan yang dicapai tidak akan bertahan lama .
Ringkasan ini sebagai satu nota kecil buat ahli dan pimpinan yang saya dedikasikan buat semua khasnya diri saya sendiri yang masih perlu dibimbing dan dibina dengan apa yang telah saya notekan di sini .